AMEERA Khan, adik kepada selebriti popular, Neelofa dikecam orang ramai apabila merakam dan memuat naik beberapa klip filem ‘House Of Gucci’ yang belum lagi ditayangkan secara rasmi di pawagam Malaysia.
Ameera, 20, memuatnaik klip tersebut menerusi Instastory miliknya baru-baru ini, dan perbuatan beliau didedahkan pengguna Twitter bernama Arsya Ridzuan.
Arsya kemudiannya membuat aduan secara terbuka menerusi ciapan kepada Twitter rasmi Golden Screen Cinema (GSC).
“Hi @GSCinemas mengapa (tindakan) ini dibenarkan di panggung wayang anda? Dan kenapa orang masih boleh perkara ini? 2022,” ciapnya.
Dalam ciapan sama, GSC membalas komen berkenaan dengan menyatakan perbuatan melakukan rakaman kandungan filem adalah sekeras-kerasnya dilarang.
“Kami mengambil serius perkara ini dan telahpun menghubungi dan melaporkan insiden berkenaan kepada pemilik sebenar untuk tindakan lanjut. Terima kasih kerana melaporkan.
“United International Pictures sudah sedia maklum tentang perkara ini untuk tindakan lanjut pihak mereka. Terima kasih,” tulisnya.
Namun rata-rata netizen tidak berpuas hati dan berharap tindakan keras dikenakan terhadap Ameera atas apa yang dilakukan.
“Kalau biarkan dia terlepas, ramai lagi akan buat seperti apa yang dia buat. Harap-harap GSC berpegang dengan kata-kata mereka,” ciap seorang pengguna Twitter.
Seorang lagi pengguna Twitter meminta pihak GSC menyaman mana-mana individu termasuk selebriti supaya menjadikan ia pengajaran kepada semua.
“Saya ingat di Korea Selatan, seorang selebriti disaman selepas merakamkan sebuah babak dan kongsikan babak berkenaan di sosial media. Lakukan hal yang sama,” katanya.
House Of Gucci yang dibintangi Lady Gaga, Adam Driver dan Jared Leto akan memulakan tayangan di pawagam Malaysia bermula 13 Januari ini.
Difahamkan, Ameera antara jemputan yang menghadiri tayangan khas filem berkenaan bersama-sama wartawan, penulis blog dan pempengaruh media sosial baru-baru ini.- Malaysiapost

