PRESIDEN Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa banyak usaha sedang dilakukan pihak tertentu untuk mencalar imej sekali gus mahu menjatuhkan partinya sejak akhir-akhir ini.
Menerusi ciapan di laman Twitter, Syed Saddiq menjelaskan, MUDA tidak perlu bimbang dengan tohmahan dan fitnah yang mendakwa ‘makan’ duit bencana banjir yang telah disumbangkan orang ramai baru-baru ini.
“Tak perlu fitnah MUDA guna duit ‘crowd funding’. Semua kita dah tunjuk. Saya buat sidang media khas tunjuk resit pembelian. Semua transaksi direkod dan kita akan audit lepas misi banjir.
“100 peratus sumbangan adalah kepada mangsa banjir. Banyak usaha nak jatuhkan MUDA beberapa hari ini,” ciapnya.
Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian susulan tular di media sosial gambar yang memaparkan beberapa individu yang memakai baju lambang MUDA sedang asyik menikmati minuman keras.
Gambar itu disertakan sekali dengan kapsyen yang mempersoalkan adakah parti yang baharu sahaja didaftarkan bulan lalu itu telah menyalahgunakan sumbangan orang ramai untuk berjoli seperti yang digambarkan.
Sebelum ini, MUDA mengumumkan mereka telah berjaya mengumpul sumbangan lebih RM2 juta yang diterima daripada orang ramai untuk misi bantuan banjir. -Malaysiapost

