SEORANG lelaki parah manakala dua lagi cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas serta terjunam dari jambatan Sungai Klang berhampiran Centre Point di Klang, Selangor tengah malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pasukannya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12.20 tengah malam.
“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan Proton Saga yang dinaiki tiga lelaki tempatan yang terbabas dan terjatuh dari jambatan setinggi tiga meter berdekatan Centre Point Klang arah Kuala Lumpur ke Klang.
“Akibat kemalangan itu, seorang daripada mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman manakala dua lagi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu keluar sendiri dari kereta sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Mereka dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

