
SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar, perkenan pelaksanaan solat fardhu Jumaat dan solat berjemaah fardhu lima waktu di negeri itu dijarakkan hanya setengah meter berbanding 1 meter sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, perubahan itu berkuat kuasa bermula Jumaat ini iaitu pada 7 Januari hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Selain itu, turut dipersetujui adalah solat hajat dilaksanakan selepas solat fardhu maghrib setiap hari dan selepas solat fardhu Jumaat setiap minggu di seluruh masjid dan surau negeri Johor.
“Tujuannya untuk memohon kesejahteraan negeri dan negara dari segala musibah dan wabak penyakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan program pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah dan ceramah agama daripada satu jam ditambah kepada tempoh tidak melebihi daripada dua jam.
“Manakala, bacaan Qunut Nazilah hendaklah dibaca dalam solat fardhu Jumaat setiap minggu.
“Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau juga hendaklah memastikan kesemua jemaah yang hadir ke masjid dan surau mematuhi SOP pencegahan Covid-19 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dari semasa ke semasa.
“SOP berkenaan termasuklah seperti jemaah telah menerima suntikan lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka, membawa sejadah berukuran besar dan memastikan tidak bergejala,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat khususnya masyarakat muslim di negeri ini untuk sama-sama berdoa agar beroleh perlindungan daripada segala wabak dan bencana. – Malaysiapost
