KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa telah mencemarkan reputasinya dan suruhanjaya itu.
Azam berkata, beliau sudah mendapatkan nasihat peguam berhubung perkara itu dan tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan dakwaan tidak berasas berkenaan tidak berulang.
“Saya menafikan sekeras kerasnya tohmahan ini kerana ia merupakan perbuatan yang berniat jahat.
“Memang terdapat usaha beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM mengambil kesempatan untuk terus menghakis kepercayaan masyarakat ke atas agensi ini dengan menjadikannya sasaran serangan bertubi-tubi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, individu yang terlibat sudah dikenalpasti dan mendakwa mereka digunakan pihak tertentu untuk memberi tekanan ke atas SPRM.
“Saya faham tentang keresahan masyarakat mengenai isu yang melibatkan SPRM mutakhir ini sehingga menenggelamkan sumbangan dan kejayaan SPRM dalam mencegah rasuah di negara ini sama ada dalam operasi atau pencegahan serta pendidikan masyarakat.
“Kami di SPRM berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat. Saya sedar dan insaf bahawa ini antara cabaran yang dihadapi oleh hampir semua Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Saya memberi akujanji akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dalam tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, untuk membawa SPRM ke arah badan yang berwibawa, profesional dalam tindakan dan penuh integriti,” katanya.
Dalam pada itu, Azam menegaskan bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam isu saham berkenaan, selain menyifatkan tuduhan terdapat ‘conflict of interest’ adalah tidak berasas.
“Saya telah jelaskan kepada Panel LPPR bahawa akaun saham saya digunakan oleh adik saya untuk membuat urusniaga beliau dan saya tiada kepentingan atau benefisial ke atas saham-saham yang dibeli itu.
“Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatanoleh SPRM.
“Akhirnya semua saham-saham tersebut telah dipindahkan kepada akaun saham beliau kemudiannya,” katanya.
Selain itu, Azam berkata, mengenai tuduhan yang mendakwa beliau mengawal banyak syarikat, disifatkan sebagai satu ‘total lie’ untuk mewujudkan persepsi negatif terhadapnya.
Jelasnya, ia digambarkan seolah-olah beliau mengawal satu kongolomerat yang besar di bawahnya.
” (Dakwaan ini) demi untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai Ketua Pesuruhjaya dan institusi SPRM. Saya menafikan sekeras kerasnya tohmahan ini kerana ia merupakan perbuatan yang berniat jahat,” katanya.
Terdahulu, Azam turut hadir dalam sidang media khas bersama Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Sidang akhbar itu dibuat bagi menjawab dakwaan berhubung salah laku yang dikatakan membabitkan pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan. – Malaysiapost

