PENDUDUK di Kampung Asli Kenang Baru Jalong Tinggi, Sungai Siput, Perak kini boleh menarik nafas lega apabila seekor harimau kumbang jantan seberat 37 kilogram berjaya ditangkap, Ahad lalu.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia dalam kenyataan, berkata pihaknya menjalankan operasi menangkap harimau kumbang itu di sekitar perkampungan berkenaan.
“Operasi tangkapan ini dijalankan susulan menerima aduan penduduk kampung berkenaan kehadiran Harimau Kumbang tersebut sejak 24 Disember lalu.
“Harimau Kumbang berkenaan berada dalam keadaan sihat dan stabil dan telah dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak untuk pemantauan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, PERHILITAN turut mengucapkan terima kasih kepada orang kampung atas kerjasama yang diberikan sepanjang operasi dijalankan.
“Orang awam turut disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan menyalurkan maklumat berkenaan hidupan liar terbabit ke talian Hotline Jabatan PERHILITAN iaitu 1-800-88-5151,” katanya. – Malaysiapost

