Banjir: Sikap tidak berlengah mudahkan urusan pemindahan mangsa – Reezal Merican

0
2

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan sikap tidak berlengah penduduk ketika bencana menyebabkan urusan pemindahan mangsa banjir di Segamat, Johor berjalan lancar.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan situasi banjir di Segamat lewat malam tadi semakin buruk, dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat mencecah 3,200 orang di 47 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Saya dimaklumkan oleh pasukan penyelamat di Johor ini bahawa proses pemindahan mangsa amat mudah dan cukup teratur. Begitu juga sikap tidak berlengah-lengah ketika bencana terjadi,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, beliau berkesempatan menyertai Unit Udara Wira Merah semalam, bagi meninjau keadaan di sepanjang laluan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Saya singgah di Segamat untuk melihat operasi anggota di lapangan serta menyalurkan bantuan daripada KPKT untuk mangsa-mangsa yang terlibat.

“Saya sempat ke PPS Kampung Pudu yang menempatkan 53 orang mangsa daripada 14 keluarga dan kemudiannya menyusur Sungai Muar ke PPS Kampung Lubuk Lanjut.

“Kampung Lubuk Lanjut dengan 26 buah keluarga dan 94 orang penduduk kini bagaikan sebuah pulau. Terputus hubungan jalan darat. Saya telah meminta beberapa keperluan tambahan dibawa ke PPS Lubuk Lanjut ini dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Reezal berkata kementeriannya komited untuk terus memberikan khidmat yang terbaik sepanjang masa bersama-sama Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir termasuk operasi pembersihan pasca banjir.

“Sebelum pulang, saya sempat bersama-sama mangsa banjir di PPS SK Batu Anam yang menempatkan 254 orang dari 81 keluarga,” katanya.

Dalam kejadian 1 Januari lalu, Segamat menjadi daerah pertama di Johor terjejas banjir apabila 456 mangsa daripada 133 keluarga dipindahkan ke lapan PPS.

Jumlah mangsa banjir di Segamat meningkat berikutan amaran cuaca buruk dikeluarkan Jabatan Meterologi Malaysia (Met Malaysia) baru-baru ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here