NADMA arah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah diaktifkan

0
1

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana banjir yang bakal berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

Arahan dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), NADMA susulan kemaskini Amaran Cuaca Berterusan Bahaya (Merah), Amaran Cuaca Berterusan Buruk (Jingga) dan Amaran Cuaca Berterusan Waspada (Kuning) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

“Semua Pusat Operasi/Kawalan Bencana Peringkat Pusat hendaklah memanjangkan Notis ini ke peringkat Negeri dan Daerah,” kata NADMA menerusi kenyataan.

Sehubungan menurut NADMA, NDCC akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

“NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80635420 dan alamat e-mel [email protected],” katanya.

Terdahulu MET Malaysia dalam kemaskini pada jam 1.10 tengah hari tadi mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan (buruk) dijangka berlaku di Pahang (Rompin), Johor (Mersing) sehingga Selasa esok.

Amaran hujan berterusan (waspada) pula dijangka berlaku di Terengganu (Kemaman), Pahang (Maran, Kuantan, Bera dan Pekan), Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin) dan Melaka.

Selain itu di Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru); Sabah (Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat) sehingga esok.

Menurut MET Malaysia, amaran hujan berterusan (bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150mm dalam tempoh 24 jam.

Amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60mm dalam tempoh enam jam.

Manakala amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here