SERAMAI 28,287 mangsa bencana banjir telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang disalurkan kerajaan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata jumlah itu diperoleh setakat jam 12 tengah hari tadi.
“Bagi mereka yang masih belum mendaftar atau menerima manfaat ini, boleh segera menghubungi Pegawai Daerah anda untuk bantuan segera oleh kerajaan,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebooknya.
Setakat 27 Disember lalu, kerajaan memperuntukkan RM34 juta BWI untuk disalurkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata jumlah anggaran itu adalah berdasarkan maklumat ketua isi rumah yang berdaftar di Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Katanya, usaha mengenalpasti mangsa yang tidak berdaftar giat dilaksanakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan BWI dapat disalurkan segera.
Pada masa sama, BWI sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah dan RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang meninggal dunia telah disalurkan kepada pihak negeri.
Bantuan diselaraskan di peringkat PKOB dengan kerjasama ICU melalui tiga kaedah iaitu serahan tunai di PKOB atau serahan tunai rumah ke rumah serta pemindahan tunai secara atas talian (EFT). – Malaysiapost

