Banjir: 1,515 mangsa gelombang kedua di Pahang dipindah ke PPS

0
1

SEJUMLAH 1,515 mangsa banjir di beberapa daerah di Pahang mula dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air dalam gelombang kedua banjir yang bermula 31 Disember lalu.

Mangsa banjir di tujuh daerah di negeri itu menunjukkan peningkatan berbanding semalam iaitu 1,421 mangsa.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 428 keluarga berada di 47 PPS.

Katanya, setakat ini tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan sejak gelombang kedua banjir melanda.

“Lipis mencatatkan daerah tertinggi iaitu 553 orang daripada 155 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS; Rompin 382 orang daripada 109 keluarga di tujuh PPS; diikuti Raub iaitu 278 mangsa daripada 84 keluarga di 12 PPS.

“Di Jerantut, jumlah mangsa dipindahkan ke empat PPS iaitu 176 mangsa daripada 45 keluarga manakala Maran 69 mangsa daripada 18 keluarga di lima PPS.

“Di Kuantan, masih tiada perubahan iaitu 42 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di dua PPS dan di Bera dibuka semula satu PPS menempatkan 14 mangsa daripada empat keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Che Adam berkata, bagi empat lagi daerah iaitu Temerloh, Pekan dan Bentong operasi PPS masih belum dibuka berikutan tiada kawasan yang terjejas.

Dalam masa sama, katanya, lapan laluan masih ditutup membabitkan beberapa daerah iaitu Kuantan, Maran, Pekan, Raub, Jerantut, Temerloh dan Lipis.

Ujarnya, di Kuantan, jalan ditutup membabitkan Jalan Sungai Lembing; di Maran melibatkan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan; Pekan di Jalan Kuantan-Segamat dan di Raub iaitu Jalan Ulu Dong.

“Bagi penutupan jalan di Jerantut membabitkan Jalan Kuala Lipis – Jerantut; di Temerloh melibatkan dua jalan iaitu Jalan Temerloh – Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok serta di Lipis melibatkan Jalan Bentong – Gua Musang,” katanya. – Malaysiapost-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here