JB, Kluang daerah terbaharu terjejas banjir

0
1

JOHOR Bahru dan Kluang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Johor dengan pembukaan tiga pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia menjadikan keseluruhan 2,553 mangsa banjir (653 keluarga) di negeri itu yang dipindahkan ke 45 PPS di lima daerah setakat 8 malam ini, berbanding 2,022 mangsa (512 keluarga) di 37 PPS pada petang tadi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan, sebuah PPS dibuka di Johor Bahru, manakala dua lagi di Kluang.

“Segamat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 2,366 mangsa banjir (593 keluarga) ditempatkan di 39 PPS, sementara Kota Tinggi mempunyai 113 mangsa daripada 36 keluarga di dua PPS.

“Jumlah mangsa banjir meningkat di Tangkak kepada 50 orang berbanding 40 orang pada petang.

“Setakat ini, trend air dilihat semakin naik dan hujan masih berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, merujuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hampir semua daerah di Johor diramalkan hujan berterusan petang ini.

“Bermula hari ini hingga Rabu depan, fenomena air pasang besar juga berlaku dan penduduk di kawasan berhampiran laut dan pesisiran pantai di negeri ini perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here