Banjir: Siren tidak berbunyi, warga emas jadi penyelamat

0
1

TINDAKAN pantas seorang warga emas mengejut jiran-jiran di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas berjaya menyelamatkan lebih 700 penduduk di kawasan berkenaan.

Ia selepas limpahan air sungai berhampiran terlalu deras sehingga menenggelamkan keseluruhan 200 buah rumah di taman perumahan itu dalam tempoh 10 minit.

Warga emas terbabit, Samsudin Omar berkata, banjir kali ini berlaku tanpa disangka dan air masuk terlalu cepat namun dia bersyukur kerana ketika itu masih lagi dalam keadaan sedar dan segera bertindak dengan mengejutkan semua penduduk

“Masa kami berjaga pada jam 9 malam hingga 4 pagi, kami pantau setiap sejam untuk tengok (keadaan hujan)..

“Namun pada jam 4 pagi, kami tengok tak ada lah (banjir) keadaan tenang walaupun hujan. Jadi, kami pun fikirlah kemungkinan esok pagi la dalam jam 8 atau 9 pagi akan banjir.. kami tahu akan banjir…

“Tetapi tak sampai 20 minit, kami balik, ada yang tidur lena.. air pun masuk dengan lajunya.. kalau saya tak ada malam itu kemungkinan ada kehilangan nyawa,” katanya dalam satu temu bual di Astro Awani hari ini.

Mengimbau semula kejadian, ketika itu, dia yang digelar Apak oleh rakan-rakan belum melelapkan mata.

Dia kemudiannya menerima panggilan telefon daripada kawannya yang tinggal berhampiran sebelum mendapati air sudah melimpahi masuk ke kawasan taman.

Justeru, bimbang dengan keadaan itu, dia segera mengejut semua penduduk di kawasan itu.

“Dalam jam 4.10 pagi, kawan telefon bagitahu air sungai dah masuk taman..dan saya pergi tengok memang benar air sudah masuk.. air laju mengalahkan air terjun.

“Saya sempat panggil kawan-kawan.. kejutkan semua mereka untuk selamatkan diri kerana tak sampai 10 minit air sudah di paras lutut,” katanya.

Disebalik kekecewaan kerana penduduk gagal menyelamatkan barangan peribadi susulan siren tidak berfungsi, Samsudin tetap bersyukur tiada kejadian tidak diingini melibatkan nyawa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here