Misi bantuan banjir tidak wajar dipolitikkan – Siti Zailah

0
2

MISI bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir luar biasa yang melanda negara baru-baru ini tidak wajar dijadikan isu politik.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata kerja-kerja bantuan dan sukarelawan kepada mangsa bencana adalah satu ibadah.

“Dalam membincangkan soal kesukarelawanan dan pemberian bantuan adalah satu ibadah yang tidak seharusnya dijadikan sebagai satu isu politik.

“Bagi saya sendiri yang berada dalam sebuah parti politik Islam kami telah dididik sebelum kami menyertai arena politik untuk melakukan kerja-kerja kebajikan.

“Saya sendiri sudah 35 tahun bersama dengan masyarakat jadi sebenarnya kerja kebajikan ini adalah tanggungjawab kita dan politik ini cumalah pelengkap untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi ini,” katanya.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Mengenai pemakaian pakaian dan logo parti ketika di lapangan, Siti Zailah berkata Malaysia sebagai sebuah keluarga besar telah menunjukkan sikap keterbukaan dan keikhlasan masing-masing dalam membantu mangsa banjir.

“Kita sebagai satu keluarga besar yang mempunyai pelbagai kaum, bangsa dan ideologi politik, ini menunjukkan keterbukaan kita yang penting kita tidak meletakkan mesti pakai pakaian yang tertentu, sebab itu menunjukkan keikhlasan mereka.

“Bagi saya, tak kisah mereka pakai warna atau logo apa, yang penting adalah kecintaan dan kasih sayang mereka bagaimana mereka menyantuni mangsa ini adalah sifat yang terpuji.

“Saya lihat ada orang Islam menolong yang bukan Islam dan begitu juga sebaliknya menunjukkan dalam kita menghadapi bencana ini kita adalah seperti satu keluarga yang erat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here