Sesi persekolahan penggal 3 mula 9 Januari

0
1
Persekolahan dibuka semula hari ini selepas ditutup pada 9 November 2020 menyaksikan murid pra sekolah, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Darjah 1 dan 2 di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri, Rawang. Menariknya seorang cikgu memakai maskot kucing bagi menghiburkan murid-murid yang hadir hari ini.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 bermula 9 dan 10 Januari ini.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, bagi sekolah rendah, kumpulan murid yang perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran melibatkan murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Katanya, ia turut membabitkan murid prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), manakala murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula hadir secara penggiliran.

“Selain itu, pelajar MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan PPKI hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Pelajar kelas peralihan, Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara juga hadir secara bersemuka tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan kumpulan pelajar tersebut di
institusi berkenaan mencapai 90 peratus atau lebih.

“Pengoperasian institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih kekal secara penggiliran dan senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan setiap hari Rabu,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu, mana-mana institusi pendidikan yang mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi pada hari Ahad atau Isnin minggu berikutnya tanpa penggiliran.

Katanya, bagi pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 pula, kehadiran adalah secara penggiliran.

“KPM turut menetapkan sekolah harian dan sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat yang mempunyai enrolmen kurang daripada 300 pelajar beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran,” kata kenyataan itu.

Namun, bagi sekolah ekspatriat yang enrolmen melebihi 300 pelajar, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya dan penilaian akan dibuat sebelum kelulusan diberikan.

“Bagi sekolah berasrama sepenuhnya, pelajar Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, IBDP dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 di sekolah berasrama sepenuhnya mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya.

KPM turut memaklumkan pengoperasian Kolej Vokasional bagi pelajar Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasional dan Diploma Vokasional Malaysia adalah secara bersemuka tanpa penggiliran mulai 9 Januari ini.

“Bagi pengoperasian kolej matrikulasi pula, kata kenyataan itu, pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula pada 9 Januari untuk Program Matrikulasi Sistem Dua Semester dan Program Matrikulasi Sistem Empat Semester.

“Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Februari ini, mengikut kalendar akademik yang sedang berkuat kuasa.

“Pelajar kolej matrikulasi dan IPG yang menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan kembali ke kolej atau kampus, selaras dengan Garis Panduan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi 3.0,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here