KPKT tamat PeKT kerana tiada peruntukan

0
2
Tinjauan Malaysiapost

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menamatkan perkhidmatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di seluruh negara mulai 1 Januari ini, lebih awal daripada penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022.

Perkara itu dimaklumkan seorang Pengerusi PeKT di Negeri Sembilan, Zool Amali Hussin menerusi Facebook ‘Bozz Jebat’, hari ini.

Beliau yang merupakan Ketua Pemuda Seremban menerima surat bertarikh 29 Disember itu, ditandatangani Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican,
berhubung penamatan pelantikan PeKT.

Menurut surat tersebut, penamatan pelantikan itu diputuskan kerana tiada peruntukan disediakan kerajaan bagi pelaksanaan kegiatan PeKT pada tahun hadapan.

“Seperti yang tuan sedia maklum, negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini.

“Berdasarkan situasi berkenaan, penyaluran peruntukan kerajaan bagi tahun 2022 akan lebih tertumpu kepada sektor-sektor lebih kritikal dan lebih menyeluruh untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ini.

“Sehubungan itu, dukacita dimaklumkan bahawa kementerian tidak dapat meneruskan perkhidmatan anggota Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) kerana tiada peruntukan disediakan bagi tujuan pelaksanaan kegiatan PeKT tahun hadapan.

“Justeru, Pihak Berkuasa Melantik PeKT telah memutuskan agar pelantikan tuan selaku Pengerusi PeKT di kawasan Majlis Daerah Rembau ditamatkan berkuatkuasa 1 Januari 2022,” menurut surat tersebut.

Mesyuarat Kabinet pada 24 Jun 2020 telah bersetuju dengan penubuhan PeKT dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Penubuhan PeKT adalah inisiatif KPKT dalam merealisasikan Dasar Komuniti Negara (DKomN) yang dilancarkan pada 17 Februari 2019. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here