SEMUA agensi dan kakitangan yang terbabit dalam pengurusan banjir jika bencana berkenaan melanda Johor seperti diramalkan sudah bersedia.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, berkata maklumat situasi terkini di beberapa daerah yang berkemungkinan banjir setakat ini semua masih dalam keadaan baik.
Menurutnya, antara daerah yang situasinya dilaporkan masih dalam keadaan baik adapah Segamat, Tangkak dan Kulai.

“Laporan pagi ini yang saya terima. Semua agensi-agensi dan kakitangan sudah bersedia di daerah-daerah yang mungkin mengalami banjir.
“Johor Military Force (JMF) juga sudah bersedia untuk dikerahkan dengan menyediakan barang-barang bantuan,” titahnya di laman Facebook rasminya, hari ini.
Terdahulu, Tunku Ismail telah mengarahkan agensi-agensi kerajaan dan pejabat-pejabat daerah supaya memastikan kesiapsiagaan untuk bertindak pantas dalam usaha penebatan banjir dan menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.
Ia susulan laporan ramalan awal, Johor dijangka akan dilanda banjir bermula 1 Januari.
“Saya juga telah mengarahkan supaya Southern Volunteers digerakkan untuk membantu pejabat-pejabat daerah dan agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam usaha membantu mangsa banjir.
“Saya akan terus memantau situasi di Johor, dan memastikan segala bantuan akan dihulurkan kepada rakyat Johor yang terjejas akibat bencana ini.
“Saya doakan Allah SWT memberkati dan melindungi kita semua dalam menghadapi banjir,” katanya. – Malaysiapost

