MANGSA banjir di Kelantan mencatatkan peningkatan dengan 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka sejak semalam.
Berdasarkan data aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di negeri berkenaan adalah 1,513 orang membabitkan 445 keluarga setakat jam 8.47 pagi tadi.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 856 orang daripada 245 keluarga, petang semalam.
Kesemua PPS yang dibuka adapah membabitkan tiga jajahan iaitu sembilan di Jeli dan lapan di Kuala Krai dan satu di Tanah Merah.
Terengganu turut melaporkan peningkatan mangsa banjir dengan dua PPS dibuka sejak semalam.
Setakat jam 6.57 pagi tadi seramai 390 mangsa daripada 115 keluarga dipindahkan di PPS Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukur, Dungun.
Sementara itu, secara keseluruhan keseluruhan 58 PPS dibuka susulan banjir yang melanda lima negeri sejak 18 Disember lalu dengan jumlah mangsa dipindahkan adalah 4,829 orang daripada 1,477 keluarga.
Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,489 orang daripada 783 keluarga membabitkan 33 PPS, manakala Selangor seramai 408 mangsa daripada 125 keluarga di empat PPS yang masih dibuka.
Negeri Sembilan pula mencatatkan seramai 29 mangsa daripada Sembilan keluarga di satu PPS iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung PUOM yang dibuka sejak 20 Disember lalu. – Malaysiapost

