SEMAKAN melalui udara yang dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mendapati tiada aktiviti pembalakan yang dikatakan punca longgokan kayu balak di Jalan Bentong- Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong.
JPNP dalam satu kenyataan memaklumkan, semakan udara itu dilakukan menggunakan dron dan mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan sepertimana yang tular di media sosial.
“Semakan melalui udara menggunakan dron mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada di dalam Hutan Simpan Lentang, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik di kedua-dua lokasi berkenaan.
“JPNP juga mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan secara sah mahupun pembalakan haram sepertimana yang ditularkan oleh orang awam melalui media sosial,” menurut kenyataan itu.
JPNP memaklumkan, dari segi rekod, Hutan Simpan Lentang telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air semenjak 2002 di mana aktiviti pembalakan adalah tidak dibenarkan sama sekali di dalam kawasan berkenaan.
“Tambahan dari itu, seluas 30 hektar kawasan Hutan Simpan Lentang di Sungai Kerau telah dijadikan sebagai petak High Conservation Value Forest (HCVF) semenjak 2012.
“HCVF merupakan kawasan Hutan Perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembalakan,” katanya.
Menurut agensi berkenaan lagi, semakan udara juga mendapati banyak kesan tanah runtuh di kawasan berbukit di kawasan terbabit yang membawa sisa terdiri daripada tanah, batu dan pokok yang hanyut ke dalam Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul.
“Semakan lapangan turut membuat penemuan pelbagai sisa batang pokok serta kayu terdiri daripada pelbagai spesies, yang memberikan gambaran bahawa arus air sungai deras turut membawa sisa dari kawasan luar Hutan Simpan Lentang,” katanya.
JPNP turut mengesahkan kejadian kepala air di kedua-dua lokasi berkenaan tiada kena-mengena sama sekali dengan aktiviti pembalakan di Tanah Kerajaan Sungai Gapoi, kerana jarak kawasan adalah jauh.
“Fenomena yang berlaku di Hutan Simpan Lentang ini hampir sama seperti apa yang berlaku di Hutan Simpan Gunung Jerai, Kedah pada Ogos lalu.
“Tinjauan lanjut melalui helikopter pada awal Januari 2022 bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai isu dan lokasi kejadian kepala air di hutan berkenaan,” katanya.
Selain itu, JPNP mencadangkan supaya kawasan Tanah Kerajaan yang tidak diusahakan dan bersempadan dengan Hutan Simpan Lentang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.
Menurutnya, ia agar kerja-kerja pemulihan seperti penghutanan semula dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seperti ini tidak berlaku di masa hadapan.
“JPNP menyaran agar dilaksanakan penguatkuasaan pematuhan zon penampan sungai yang dibangunkan oleh agensi, syarikat atau orang awam bagi mengelakkan berlakunya hakisan lebih serius,” katanya. – Malaysiapost

