JEMAAH yang selamat kembali dari umrah telah dimulakan pemakaian peranti pengesanan digital atau ‘digital tracker’, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata jangka masa diambil untuk saringan kesihatan dan pemakaian ‘digital tracker edgenta’ adalah sejam 20 minit.
Katanya, terdapat 20 kaunter dan 40 kakitangan ditempatkan untuk pemakaian digital trackers di bangunan ‘Satelitte’ C25.
“Sehingga hari ini pemakaian digital trackers adalah untuk pengembara yang kembali dari 18 negara berisiko tinggi di bawah pengawasan kuarantin rumah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, tular satu video jemaah umrah yang baru pulang ke tanahair ‘mengamuk’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Video berdurasi satu minit 44 saat itu turut menunjukkan para jemaah berang dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menurut Ansar Lashari yang memuat naik video itu di Facebook, jemaah tidak berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) pemakaian peranti pengesanan digital yang didakwa mengambil masa terlalu lama. – Malaysiapost

