Long Tiger rancang lari ke negara jiran

0
1

LELAKI etnik Rohingya, digelar Long Tiger yang berjaya ditahan semula di Sungai Petani, Kedah semalam selapas meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor sejak 15 Disember lalu, dipercayai dalam usaha melarikan diri ke negara jiran.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan awal pihaknya mendapati Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, merancang melarikan diri ke negara jiran sama ada ke Indonesia atau Thailand melalui Utara tanah air.

Menurutnya, susulan penahanan suspek oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan juga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada jam 3.15 petang semalam, beberapa individu turut ditahan kerana dipercayai bersekongkol dan melindungi Long Tiger.

“Polis berjaya memberkas Long Tiger di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah bersama seorang lagi lelaki berusia 46 tahun yang disyaki terbabit dalam melindungi Long Tiger.

“Kalau ikut maklumat awal Long Tiger sudah mengenali lelaki yang melindunginya itu di Facebook sejak 2020 lagi,” katanya dalam sidang media mengenai kejayaan tangkapan berkenaan, hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat susulan yang dijalankan di antara jam 7.25 malam hingga 3 pagi tadi, polis telah membuat dua lagi tangkapan ke atas dua lelaki di Batu Pahat, Johor yang dipercayai bersekongkol dengan suspek.

“Dua suspek terbabit berusia 36 dan 38 tahun. Seorang daripada suspek yang ditangkap ini mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah

“Turut dirampas adalah gari dan pemotong besi. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan susulan mendapati ada pihak yang membantu Long Tiger termasuk membeli kad sim telefon, memotong gari, membantu membawanya dari Tangkak ke Batu Pahat dan dari Batu Pahat ke utara.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kemungkinan ada tangkapan lain lagi.

“Gambaran yang jelas akan diperoleh selepas siasatan siap sama ada individu yang ditahan dibayar, atau bersekongkol dan sengaja melepaskan Long Tiger serta siapa yang membiayai pembolosan ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here