HARGA runcit petrol RON97 naik satu sen kepada harga RM3.00 seliter bagi tempoh bermula esok sehingga 5 Januari ini.
Harga runcit petrol RON95 dan diesel pula kekal, masing-masing pada harga RM2.05 seliter serta RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan mengekalkan paras harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter bagi diesel walaupun harga bahan bakar itu telah meningkat melebihi siling ditetapkan.
“Langkah itu bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global.
“Harga runcit mengikut formula APM bagi RON95 dan diesel meningkat lebih 10 sen berbanding had harga siling yang ditetapkan.
“Kerajaan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

