KAMPUNG Bukit Changgang di Banting dan Bentong, Pahang dijadikan ‘Kawasan Angkat’ Kementerian Pembangunan Luar Bandar, (KPLB) bagi misi bantuan pasca banjir.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sejumlah 600 kakitangan kementerian dan agensinya dihantar sebagai sukarelawan untuk misi tersebut.
“Selain menghantar sukarelawan bagi membantu kerja pembersihan rumah mangsa banjir di kawasan berkenaan, kita juga ada menyediakan bantuan dalam bentuk barangan keperluan hidup,” katanya selepas melawat Kampung Batu Kapor dan Sungai Buloh, Mentakab hari ini.

Jelas Mahdzir, seramai 300 sukarelawan KPLB masing-masing akan ditempatkan di Bukit Changgang dan juga di daerah Bentong untuk membantu penduduk membersihkan kediaman yang terjejas termasuk membaiki pendawaian elektrik.
“Ia diikuti proses penilaian kerosakan untuk kerja-kerja baik pulih,” katanya.
Tambahnya, KPLB juga memperuntukkan RM15,000 untuk kerja-kerja baik pulih bagi setiap rumah penduduk yang layak menerima bantuan.

“Bantuan bina baharu rumah pula diperuntukkan sebanyak RM56,000 bagi setiap rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir memaklumkan kementeriannya sedang mengumpul data keseluruhan kemudahan dibawah seliannya yang terjejas dalam bencana banjir.
Katanya, data berkenaan amat penting dan perlu segera dilengkapkan bagi memudahkan pihaknya merangka pelan pembaikan dan juga peruntukan kos.
“Kalau boleh ada senarai segera dan memang layak, dia ada orang yang sahkan, contohnya di kampung itu ada tujuh rumah, kampung sana ada lapan rumah, itu yang kita nak senarai dan data itu.
“Yang mana yang dah dapat data itu kita boleh laksanakan (bantuan baik pulih) RM15,000 dan kalau Bina Baharu RM56,000 . Butiran satu negara belum dapat lagi tetapi ada daerah yang kita dah dapat seperti Hulu Langat sebahagiannya kita dah dapat,” katanya.
Dalam lawatan kerja pasca banjir ke Pahang ini, Mahdzir turut menyampaikan bantuan pasca banjir 2,000 selimut dan 2,000 dapur gas sumbangan KPLB kepada mangsa banjir di negeri Pahang.
Beliau juga menyerahkan pelbagai barangan keperluan hidup seperti lampin, minyak masak, tuala wanita, air mineral, beras, sejadah dan telekung, sumbangan daripada Umno Bahagian Padang Terap. – Malaysiapost

