POLIS menahan seorang daripada tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kehilangan barang kes, iaitu wang tunai RM25 juta yang disita suruhanjaya itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata pegawai berusia 40 tahun itu kini ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor.
“Siasatan dilakukan mengikut Akta LLPK (Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas) dan pegawai berkenaan sedang menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan dadah,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata siasatan salahlaku dan penyelewengan barang kes melibatkan tiga kakitangan SPRM itu hampir selesai.
“Kita masih menunggu maklum balas pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) berhubung siasatan berkenaan,” katanya.
Oktober lalu, seorang daripada mereka dilaporkan disiasat atas kesalahan pengedaran dadah.
Suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah sejak setahun lalu.
SPRM sebelum ini mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berkait dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan. – Malaysiapost

