Azam Baki perlu beri penjelasan dakwaan milik jutaan saham – Kit Siang

0
1

JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri digesa memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki untuk menjelaskan dakwaan memiliki hampir dua juta saham dalam syarikat tersenarai awam.

Veteran DAP, Lim Kit Siang membuat gesaan itu susulan gesaannya sebelum ini agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan berhubung perkara berkenaan tidak diberi perhatian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang timbul sejak dua bulan lalu, menyebabkan ‘defisit kepercayaan’ terhadap kerajaan dan SPRM yang menurun ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Jawatankuasa Pilihan Khas perlu mengemukakan laporannya kepada Dewan Rakyat pada hari pertama mesyuarat pertama sesi kelima Parlimen yang akan bersidang dari 28 Februari hingga 24 Mac 2022.

“Ahli akademik Edmund Terence Gomez telah meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM sebagai tanda protes terhadap kegagalan Panel berkenaan bertindak terhadap isu tersebut.

“Amat mengejutkan apabila Perdana Menteri dan SPRM memandang ringan isu ini kerana tiada sebarang tindakan diambil sejak dua bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang berkata, jawatankuasa berkenaan harus bertindak untuk menunjukkan bahawa perkara ini bukan perkara remeh tetapi mengembalikan menyakinkan orang ramai terhadap kerajaan secara keseluruhan dan SPRM khususnya.

Beliau berpendapat, pihak jawatankuasa perlu memanggil semua pengerusi lima jawatankuasa pengawasan SPRM bagi memastikan SPRM melaksanakan tugas pencegahan rasuah.

“Rakyat Malaysia mengharapkan kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan kebertanggungjawaban SPRM dalam melaksanakan tanggungjawab undang-undang yang ditetapkan.

“SPRM telah gagal dalam hal ini berikutan timbul dakwaan serius terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen seharusnya bukan sahaja menyiasat kegagalan SPRM tetapi membuat cadangan bagaimana masalah ini boleh diatasi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here