LEBIH 1,500 sukarelawan Pemuda Umno dan Skuad Sabil pergerakan itu hari ini bergerak dalam misi pembersihan di lokasi-lokasi pasca banjir di beberapa lokasi.
Antaranya Temerloh, Mentakab, Paya Besar, Bentong dan Karak di Pahang, selain Bukit Piatu Sepang, Puchong, Kampung Bukit Lanchong Kota Raja, Padang Jawa dan beberapa lokasi di Shah Alam, Sungai Lui, Dusun Tua dan di Hulu Langat.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dalam tempoh dua minggu ini pejabat Pemuda Umno telah berubah menjadi pusat koordinasi sukarelawan dan gudang simpan barang sumbangan pelbagai pihak.
“Hari ini sahaja kita dapat kumpulkan 1,200 helai sejadah, telekong dan kain pelikat di samping 100 water jet untuk diagihkan.
“Selain itu juga kami terima 2,000 kampit beras di samping buat pembelian 200 dapur dan 200 cerek elektrik daripada sumbangan orang ramai,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua dermawan yang tidak putus-putus menyumbang untuk Skuad Sabil dan Sukarelawan Pemuda Umno turun membantu setiap hari mangsa banjir dalam misi pembersihan dan menyampaikan bantuan.
Tambahnya, pihaknya masih menerima sumbangan untuk misi bantuan banjir yang boleh disalurkan ke akaun Pemuda Umno Malaysia menerusi CIMB Bank Berhad (8000632311) dengan mencatatkan “BANTUAN BANJIR”. – Malaysiapost

