KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan Skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar, diikuti oleh i-Citra adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif itu diperkenalkan semata-mata memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.
Dalam satu kenyataan, KWSP berkata kepelbagaian bantuan kewangan kerajaan yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan untuk pemulihan daripada pandemik dan banjir baru-baru ini adalah dialu-alukan semasa waktu sukar ini, justeru sebarang pengeluaran khas daripada simpanan KWSP pada masa hadapan adalah dianggap tidak perlu.
Menurutnya, KWSP adalah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.
“Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.
“Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” kata kenyataan itu hari ini.
KWSP berbesar hati dengan pendirian beberapa kesatuan negara seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja di Malaysia dan mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP.
Ia kerana, katanya ketika negara sedang membina semula ekonomi dan orang ramai telah kembali bekerja, tumpuan utama kini adalah untuk memulih dan membina semula simpanan KWSP.
Katanya, fokus KWSP kini adalah untuk terus melindungi simpanan ahli, selaras dengan mandatnya, dan memastikan ahli turut memulihkan dan membina semula simpanan persaraan mereka bagi menjamin persaraan yang selesa.
“KWSP amat bersimpati dengan rakyat Malaysia berikutan kejadian banjir. Sebagai organisasi yang bertanggungjawab dari segi sosial, KWSP dan organisasi lain perlu memainkan peranan penting ke arah kesejahteraan masyarakat.
“Oleh yang demikian, KWSP melalui penyertaannya di bawah Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN) telah menawarkan sokongannya melalui sumber di bawah keupayaannya termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP,” katanya.
Dalam pada itu, KWSP ingin menegaskan bahawa tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana peruntukan berkenaan adalah daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan.
Katanya, bantuan akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal bukan untung yang berkredibiliti.
“Dengan hampir 15 juta ahli, sebarang bantuan melalui pertubuhan kebajikan dan melalui usaha sukarelawan KWSP sendiri akan memberi manfaat kepada ahli dan keluarga mereka secara langsung dan tidak langsung.
“Dengan langkah yang dilaksanakan untuk menyokong pemulihan ekonomi, KWSP berharap ini akan membantu dalam menangani keperluan rakyat sambil meyakinkan ahli bahawa KWSP kekal komited terhadap mandat dan tujuannya untuk menjamin kesejahteraan masa depan persaraan ahli,” katanya.
Selain penyusutan pendapatan masa depan individu, KWSP juga bimbang bahawa ketirisan selanjutnya akan menjejaskan kedudukannya sebagai organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli.
Sebagai pemegang amanah, KWSP mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan yang saksama untuk semua ahlinya, lebih-lebih lagi apabila masih terdapat berjuta ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka dengan harapan untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik demi menjamin kehidupan persaraan mereka kelak.
“Sehingga kini, terdapat lebih RM270 bilion simpanan KWSP yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang sudah mencapai umur lebih 55 dan 60 tahun, mahupun yang mempunyai simpanan lebih RM1 juta dalam akaun KWSP mereka.
“Dibimbangi bahawa kemelesetan kepercayaan terhadap KWSP akan memaksa golongan ahli ini mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak akan memberikan impak yang negatif terhadap pasaran domestik memandangkan KWSP adalah tunggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara,” katanya. – Malaysiapost

