Polis siasat majlis perkahwinan pasangan selebriti langgar SOP

0
1

POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung video tular majlis perkahwinan pasangan selebriti terkenal yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 di Genting Highlands, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya menerima laporan polis berkaitan satu video berdurasi 41 saat yang tular dimuat naik di laman Facebook pada 10.30 malam tadi.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan majlis perkahwinan pasangan selebriti terkenal di sebuah villa di Genting Highlands.

“Hasil siasatan polis, majlis berkenaan berlangsung pada 15 Disember lalu jam lebih kurang 8.30 malam.

“Menerusi video itu mendapati terdapat tetamu yang tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan sosial dan keadaan tersebut dilihat telah melanggar SOP PPN Fasa 4,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah membuka kertas siasatan berikutan penularan video berkenaan.

“Justeru polis akan mengesan dan mengenalpasti kesemua individu yang hadir dalam majlis perkahwinan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengalawan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya.

Zaiham meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden berkenaan serta menasihatkan terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, sebarang pertanyaan dan penyaluran maklumat boleh menghubungi IPD Bentong di talian 09-222 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here