Isu pengeluaran KWSP tidak timbul jika kerajaan tambah bantuan tunai – Asyraf Wajdi

0
1
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media Pemuda UMNO di Bangunan UMNO hari ini.

ISU pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang dituntut rakyat pasti tidak timbul jika kerajaan sedia berbelanja untuk rakyat dan sediakan pelan dan pakej bantuan secara komprehensif berjangka pendek dan panjang, kata Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, rakyat menuntut pengeluaran wang simpanan hari tua mereka sendiri KWSP kerana situasi kecemasan luar biasa akibat pandemik dan musibah banjir ketika ini.

Beliau berkata, bantuan Kerajaan hakikatnya tidak mencukupi bagi semua lapisan yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.

“Inisiatif berhutang melalui skim pinjaman Tekun atau kemudahan Bank Simpanan Nasional (BSN) tidak akan menyelesaikan masalah semua pihak kerana ada yang tidak layak, bahkan menambah beban rakyat dengan lilitan hutang berpanjangan yang tiada berkesudahan.

“Kerajaan wajar pertimbang untuk meningkatkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM1,000 kepada sekurang-kurangnya RM5,000 kepada mangsa banjir. (Nak baiki kereta yang ditenggelami banjir yang dianggarkan antara RM4 ribu-RM10 ribu pun tak cukup),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, BWI juga perlu diperluaskan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik termasuk golongan M40 dan B40 yang hilang punca pendapatan akibat dibuang, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup akibat PKP berpanjangan dan lain-lain.

Asyraf Wajdi berkata, kerajaan tidak perlu takut berbelanja defisit untuk menambah bantuan kepada rakyat atas Pelan Konsolidasi Fiskal di saat kecemasan, musibah dan pandemik yang luar biasa.

“Negara berideologi kapitalis seperti Amerika Syarikat pun sanggup berbelanja defisit hampir 14 peratus berbanding KDNKnya iaitu USD3trillion bagi menjana ekonominya semasa Pandemik.

“Kemelesetan ekonomi yang melanda negara ketika ini mewajarkan kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan bagi meningkatkan ‘Effective Aggregate Demand’ yang mampu menjana kembali pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, bantuan tunai atau ‘cash transfer’ juga adalah amalan banyak negara-negara maju ketika ini termasuk Jerman dan UK bagi menyelesaikan musibah dan menggerakkan semula ekonomi.

“Projek tebatan banjir yang efektif bagi menangani banjir adalah satu lagi contoh perbelanjaan yang punya kesan baik jangka panjang.

“Jika kerajaan sedia berbelanja untuk rakyat dan sediakan pelan dan pakej bantuan secara komprehensif berjangka pendek dan panjang kepada rakyat, sudah tentu isu pengeluaran KWSP tidak timbul lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here