“Ampun maaf kami terpaksa berhenti dulu’ – Azhan Rani

0
1

PELAKON Azhan Rani, 45, dengan berat hati mengambil keputusan tidak meneruskan misi bantuan terhadap mangsa banjir yang dijalankan sebelum ini.

Azhan antara artis yang aktif turun padang menghulurkan bantuan pasca banjir bersama rakan-rakannya di sekitar Lembah Klang dan beberapa daerah di Pahang.

Menerusi hantaran di Instagram, dia yang terkenal dengan watak Ustaz Madi itu berkata keputusan tidak meneruskan misi bantuan disebabkan beberapa faktor yang diambil kira.

“Maaf kami terpaksa berhenti di sini. Gudang penyimpanan kami di Sungai Choh itu pun cuma dipinjamkan tanpa bayaran.

“Kami perlu pulangkan semula pada pemilik. Dia juga ada perniagaan di situ. Sahabat-sahabat sukarelawan kami juga perlu kembali pada tugas dan tanggungjawab hakiki masing-masing.

“Ampun maaf kami terpaksa berhenti dulu di sini. Apapun kami tetap akan jadi tulang belakang buat mana-mana sukarelawan atau sesiapa jua yang ditimpa musibah setakat kemampuan kami,” tulisnya.

Bagaimanapun, pelakon siri Nur itu berkata dia tetap berpegang kepada konsep ‘kita jaga kita’ serta slogan #darirakyatkepadarakyat akan terus terpahat dalam semangat mereka.

“Sama-sama kita doakan agar lebih banyak cerita yang baik-baik buat kita semua nanti. InsyaAllah akauntan tak bergaji kami @fizleehafiz akan kemaskini akaun akhir tabung sumbangan kami. Nanti saya kongsikan.

“Cuma tolong jangan sumbangkan apa-apa lagi untuk pasukan kami. Kita bantu pula pada pasukan lain yang masih meneruskan misi ini,” katanya lagi.

Azhan berkata semua yang terbabit dalam misi bantuan banjir teramat letih.

“Masing-masing keletihan teruk semalam. Hampir jam 2 pagi baru sampai rumah. Bagilah peluang mereka tarik nafas dulu. Terima kasih semua yang terbabit.

“Terima kasih budi baik dan prihatin setiap orang yang menyumbang. Semoga berpanjangan kasih sayang sesama kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here