‘Usah dengar nasihat Menteri Kewangan ketinggalan zaman PN’ – Najib

0
1

DATUK Seri Najib Razak menyokong saranan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki memohon Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mendengar nasihat Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung pengeluaran i-Citra.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Ismail Sabri perlu mendengar rintihan rakyat yang terkesan semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terbaharu bencana banjir besar yang berlaku.

Jelas beliau, terdapat banyak cara untuk membina semula simpanan pencarum yang mempunyai baki rendah jika pengeluaran wang sebanyak RM10,000 menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diluluskan.

“Usahlah dengar nasihat Menteri Kewangan ketinggalan zaman PN (Perikatan Nasional).

“Dengarlah rintihan rakyat. Last sekali pengeluaran khas. Lepas itu, fokus untuk bina balik simpanan pendeposit baki rendah dalam KWSP. Banyak caranya,” katanya dalam hantaran Facebook.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno meminta Perdana Menteri mendengar rintihan rakyat dan bukannya nasihat Tengku Zafrul berkenaan pengeluaran wang KWSP

Asyraf Wajdi berkata, kelulusan pengeluaran KWSP i-Citra sebanyak RM10,000 itu sangat diperlukan rakyat ketika ini kerana bantuan yang diberikan masih belum mencukupi.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran tersebut, kerana bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar ketika pencen nanti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here