SEORANG pemimpin politik hari ini menegur Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu yang didakwa mengelirukan berhubung percutiannya ke luar negara.
Menerusi kronologi dikongsi di Facebooknya, Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata hujan lebat berlaku pada 17 Disember lalu menyebabkan air mula naik dan mengakibatkan banjir.
Seterusnya katanya, pada 19 Disember, Ahmad Faizal merasmikan skuad sukarelawan banjir sehingga dikecam netizen.
Malah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menegur tindakan Ahmad Faizal merasmikan majlis itu sebagai “tak perlu” kerana lebih baik “gerakkan dan bantu dengan segera saja.”
Berikut kronologi dikemukakan Shahrir:
17 Disember: Hujan lebat dan air naik
19 Disember: Rasmi skuad sukarelawan banjir dan dikecam warganet
22 Disember: Naik kapal terbang ke Dubai
23 Disember: PM arah semua Menteri batal cuti. Maka, dengan hati yang sedih, 12 jam kemudian, beli tiket balik Malaysia
27 Disember: Keluar kenyataan “hati tak tenteram” teringat nasib rakyat.
“Walaupun dalam kerajaan, terpaksa tegur dengan telatah Pak Menteri kita,” katanya menerusi hantaran itu.
Terdahulu Ahmad Faizal dipetik portal UtusanTV mengakui telah ‘terbang’ ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bertemu anak-anaknya.
Bagaimanapun Timbalan Presiden Bersatu itu menjelaskan beliau hanya berada di Dubai selama 12 jam sebelum pulang semula ke tanah air susulan hati berasa tidak tenteram mengenangkan negara berdepan musibah banjir.
Menjelaskan mengenainya, Ahmad Faizal berkata anak-anaknya berada di United Kingdom (UK) namun disebabkan kes Covid-19 varian Omicron yang tinggi, pertemuan keluarga itu dirancang di Dubai.
“Memang saya ada mohon cuti dan bila diluluskan, saya ke Dubai pada hari Rabu lalu (22 Disember) untuk bertemu anak-anak. Namun begitu, melihatkan keadaan banjir yang melanda negara, hati saya jadi tak tenteram.
“Jadi, saya buat keputusan untuk beli tiket pulang hanya selepas kira-kira 12 jam berada di sana.
“Saya sempat duduk berbual seketika dengan anak-anak sebelum berlepas pulang pada jam 8 pagi Khamis (23 Disember), sebelum arahan pulang dibuat Perdana Menteri,” katanya yang kini menjalani kuarantin kendiri di ibu negara. – Malaysiapost

