Pas My50 tanpa had bantu mangsa banjir di Lembah Klang

0
2

KERAJAAN melancarkan Pas Perjalanan Tanpa Had My50 (My50) bagi membantu penduduk Lembah Klang yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee ka Siong, berkata pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan itu untuk warganegara Malaysia bagi penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad di Lembah Klang selama 30 hari berturut-turut.

Perkhidmatan yang dinyatakan adalah Transit Aliran Ringan (LRT); Transit Aliran Massa (MRT); Monorel, Bas Rapid Transit (BRT); bas Rapid KL dan bas pengantara MRT.

“Bagi Pulau Pinang, pas tanpa had My50 dipanggil Mutiara Pass, sah untuk semua perkhidmatan bas Rapid Penang. Pas Perjalanan Tanpa Had My50 sah dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022.

“Dalam majlis pelancaran di stesen LRT Gombak hari ini, saya memaklumkan kepada media bahawa My50 dijayakan dengan peruntukan RM115 juta di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), dengan mengurangkan kadar tambang dari RM200 kepada hanya RM50 sebulan.

“Ini adalah subsidi oleh kerajaan untuk membolehkan Prasarana menyediakan kemudahan ini pada kadar yang berpatutan untuk mereka yang bergantung kepada perkhidmatan mereka,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ka Siong berkata, My50 menggantikan pas My30 yang diperkenalkan di bawah skim PENJANA pada Jun 2020 dalam membantu orang ramai berdepan pandemik Covid-19.

Menurutnya, peruntukan My50 merupakan inisiatif penting berikutan peranan pengangkutan awam dalam kehidupan seharian ramai orang.

“Diharapkan ia terus memberikan kelegaan kepada mereka yang terjejas akibat banjir dengan menjadikan pengangkutan awam lebih menjimatkan kos untuk mereka,” katanya.

Berikutan ramai penduduk di Lembah Klang dan seluruh negara terkesan akibat banjir, beliau menggesa semua agensi di bawah kementeriannya memainkan peranan dalam memberikan perlindungan, bantuan, dan sebarang bantuan yang diperlukan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here