Bukan posing, menteri sebenarnya cuci tahi cicak, unggas

0
1

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) menjelaskan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun sebenarnya mencuci kesan najis unggas dan cicak di lantai Sekolah Kebangsaan (SK) Salak Tinggi di Sepang.

JKM tampil menjelaskan demikian susulan video tular memaparkan Rina seperti mencuci lantai yang telah bersih menggunakan ‘waterjet’ di sekolah tersebut yang dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir.

Menerusi kenyataan lewat malam tadi, JKM menafikan Rina sekadar ‘posing’ di depan kamera, sebaliknya menjelaskan pihaknya telah mengatur Operasi Pasca Bencana Banjir semalam dengan membersihkan sekolah itu yang dijadikan PPS dari 18 hingga 23 Disember.

Menurut kenyataan itu, JKM berbesar hati atas kesudian Rina turut serta dalam operasi tersebut, bukan sekadar pembersihan kawasan, malah bersama Sukarelawan Keluarga Malaysia mengemas bilik darjah, menyapu lantai dan tingkap bilik darjah, menyusun atur meja dan kerusi pelajar.

Ia supaya keadaan kembali seperti sedia kala memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“YB Datuk Seri Rina juga mengemas khemah-khemah yang digunakan mangsa banjir untuk simpanan bagi kegunaan akan datang.

“JKM selaku jabatan yang menguruskan operasi ini telah memohon kesudian YB Datuk Seri Rina untuk mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan oleh pihak sekolah sukar dicucikan sebelum ini.

“Memandangkan peralatan waterjet sedia ada di lokasi pembersihan, YB Datuk Seri Rina tidak menolak pelawaan JKM, dan beliau melakukan kerja tersebut dengan dada yang lapang dan hati yang terbuka,” kata JKM.

Antara ciapan netizen di Twitter

Sehubungan itu JKM menegaskan keterlibatan Rina bukanlah sekadar membersihkan lantai simen tersebut, malah beliau telah sama-sama melakukan kerja pembersihan dan susun atur logistik lain di sekolah berkenaan.

“JKM berasakan tidak adil para netizen membuat tohmahan dan memperlekehkan usaha dan penglibatan YB Datuk Seri Rina dalam operasi pembersihan ini.

“JKM juga menyeru dan mengalu-alukan lebih ramai rakyat untuk tampil mendaftar dan terlibat menjadi Sukarelawan Keluarga Malaysia dalam misi membantu Operasi Pasca Banjir, dari membuat dan menyebar provokasi yang tidak bermanfaat,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial klip video Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menyembur lantai yang bersih menggunakan ‘waterjet’.

Sehubungan itu netizem mengecam Rina apatah lagi klip video itu seakan lakonan semata-mata kerana dikerumuni ramai juruvideo dan jurukamera yang merakam ‘aksi’ menteri terbabit. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here