Abang Viva ditawarkan hadiah kereta pacuan empat roda

0
1

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah kata bidalan tepat yang bakal diraih seorang lelaki bernama Azwan Omar.

Kisah Azwan atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’ di media sosial sedang hangat diperkatakan kerana menjadi hero yang tak didendang ketika bencana banjir melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Kegigihan dan keikhlasan dia dalam membantu menyelamat ramai mangsa banjir menggunakan bot miliknya sendiri telah mencuri perhatian orang ramai dan pada masa sama sedang rancak mengkritik kerajaan susulan tindakan bantuan dan penyelamat yang lambat terhadap mangsa terjejas.

Terbaharu, seorang usahawan wanita dikenali sebagai Sha Hassan berhasrat menghadiahkan Azwan sebuah kereta pacuan empat roda bagi memudahkan dia membuat kerja-kerja kebajikannya.

Sha Azwan dalam hantaran di Instagram miliknya memaklumkan telah berjaya menghubungi dan menyampaikan hasratnya itu kepada Azwan.

Menerusi paparan tangkap layar, Azwan belum memberi jawapan untuk menerima durian runtuh itu dan sempat bertanyakan secara jujur sama ada pemberian tersebut untuk tujuan pemasaran Sha Hassan atau sebaliknya.

Menurut Azwan, dia tidak mahu terikat dengan mana-mana syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO) dan mengakui tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan kereta yang agak mahal bagi orang biasa seperti dia.

Bagaimanapun, Sha Hassan tidak memaksa dan memberi masa untuk Azwan berfikir mengenai tawaran hadiah itu serta menegaskan tiada niat terselindung di sebalik pemberian berkenaan.

Malah, Sha Hassan berkata, dia memang ikhlas dan berniat baik mahu memberikan hadiah kepada insan yang banyak menabur budi kepada rakyat seperti Azwan.

Usahawan itu berharap Azwan dapat menghubunginya semula dan menerima tawaran hadiah berkenaan.

Azwan yang berasal dari Melaka secara sukarela datang ke kawasan bencana banjir di Selangor dan Pahang dengan bot persendirian dibawa dengan Perodua Viva telah mencuri perhatian netizen.

Lebih mengharukan hati netizen apabila mengetahui Azwan hanya berbekalkan wang RM50 dalam menjayakan misi penyelamatannya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here