DATUK Seri Mohamed Azmin Ali menghabiskan cuti hujung minggu dengan menyertai misi bantuan skuad bencana banjir Parlimen Gombak di kawasan Puchong hari ini.
Menerusi ciapan di laman Twitter, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkongsi misi kemanusiaan pasukannya melakukan kerja pembersihan di kediaman penduduk di Kampung Tengah, Puchong yang teruk terjejas akibat banjir, 19 Disember lalu.
“Misi bantuan banjir di Puchong bersama #wargaMITI dan skuad Bencana Banjir Parlimen Gombak.
“Sukarelawan di sini sudah lima hari sejak Rabu lalu berkampung di Puchong membantu kerja pembersihan, pemberian bantuan dan membantu menyediakan makanan serta memasak untuk mangsa banjir.
“Saya dapat menyelami perasaan sedih dan hiba penduduk sekitar Kampung Tengah B, Puchong yang turut menjadi mangsa banjir besar. Saya bersama mereka tengah hari tadi membantu membersihkan kediaman dan menghulurkan bantuan makanan dan peralatan dapur,” katanya.

Azmin juga mengucapkan penghargaan terima kasih kepada sukarelawan yang menyumbang tenaga membantu mangsa banjir.
“Kesungguhan dan semangat kerjasama yang dipamerkan sukarelawan & #wargaMITI memang patut dikagumi.
“Terima kasih kepada semua sukarelawan-sukarelawan lain seluruh negara yang bersama-sama membantu mangsa banjir.
“Saya turut meninjau proses agihan bantuan baik dari kerajaan, swasta atau pihak persendirian. Bantuan seperti ini harus segera disalurkan kepada mangsa banjir. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban keluarga-keluarga yang terkesan,” ciapnya.
Sementara itu, Azmin memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil sektor perindustrian berkaitan bentuk bantuan yang akan disumbangkan kepada mangsa banjir.
“Esok pagi saya dan KSU MITI akan bertemu dengan pegawai dan wakil industri untuk menjayakan Program Bantuan Keluarga Mangsa Banjir dan Kerja-Kerja Pembersihan dan Pemulihan Pasca Banjir dengan melibatkan pihak swasta dan industri.
“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Kami seboleh upaya membantu agar tiada siapa yang akan ketinggalan dalam situasi bencana seperti ini.
“Semoga mereka diberikan kekuatan dan tabah dalam menghadapi ujian ini,” katanya. -Malaysiapost

