Kalau lambat tinggalkan rumah, entah apa nasib kami sekarang

0
1

Najamuddin Mohd Nor

DETIK cemas meredah hujan dan banjir bersama isteri yang baharu tiga hari menjalani pantang bersalin, pasti menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan buat Salman Khair Abdul Karim.

Dia yang berusia 39 tahun tidak menyangka kediaman diduduki sejak empat tahun lalu ditenggelami air paras dagu orang dewasa dalam kejadian malam 19 Disember lalu.

Namun, perasaan bimbang untuk segera memindahkan tiga anak dan isterinya ke kawasan lebih selamat ketika air banjir masih di paras betis menyebabkan dia sangat bersyukur kerana tidak diuji dengan musibah yang lebih teruk lagi.

“Masa tu lepas Isyak, air melimpah masuk ke dalam rumah, saya dan isteri mula fikir untuk tinggalkan rumah kerana kami ada bayi, baru je lahir tiga hari sebelum tu.

“Air masa tu paras betis, jadi saya suruh isteri yang sedang berpantang, bayi dan dua anak lagi masuk ke dalam kereta dan ke Putrajaya tumpang tidur di rumah kawan pada malam tu,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Salak Bayu, Labu Lanjut, Sepang, hari ini.

Namun, menurut Salman, dia tidak menyangka hujan yang tidak berhenti selama dua hari itu hampir menenggelamkan keseluruhan rumah di kawasan taman perumahannya.

Malah, katanya, semua rumah di kawasan Labu Lanjut tenggelam dalam kejadian banjir itu.

“Memang tak sangka rumah dan kawasan ni banjir sampai macam tu sekali. Ini kali pertama banjir berlaku. Saya hanya tahu air naik paras dagu sebaik sampai di Putrajaya dan terima mesej whatsap daripada jiran.

“Kalau kami lambat tinggalkan rumah hari tu, entah apa lah nasib kami sekarang. Masa tu air paras betis.

“Tak sangka air naik cepat sampai dagu orang dewasa, mujur kami lima beranak dah tinggalkan rumah,” katanya.

Salman yang bekerja di syarikat swasta berkata, dia kini ibarat memulakan kehidupan baharu selepas semua barang kelengkapan rumah musnah akibat banjir itu.

“Tipulah kalau saya kata tak sedih. Semua barang dalam rumah rosak, tak boleh guna lagi, termasuklah pakaian. Laptop, komputer, barang elektrik lain, termasuklah kereta isteri tenggelam dalam banjir. Bukan sedikit kerugian ini.

“Perasaan ni memang rasa nak hilang punca, mujur ada kawan-kawan, ahli keluarga, saudara mara yang beri semangat, beri sumbangan macam-macam membuatkan saya lebih tabah untuk bangkit semula lepas ini.

“Tapi saya amat bersyukur semua ahli keluarga saya selamat. Ini ujian berat tapi saya yakin ada hikmah Allah di sebalik musibah ini,” katanya.

Ketika ditemui, Salman sedang melakukan proses pembersihan dengan dibantu rakan-rakannya.

“Hari ini masuk hari ketiga saya cuci rumah, air banjir yang bergenang mula surut Khamis lalu dan bekalan elektrik mula pulih semalam.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bantu saya, tak kira dalam bentuk apa sekali pun. Terima kasih semua,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here