Mangsa banjir dapat rebat 100 peratus bil TNB

0
1

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pemberian rebat 100 peratus bil elektrik bagi Disember kepada semua mangsa banjir bertujuan mengurangkan bebanan yang ditanggung mereka.

Perdana Menteri berkata rebat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu bagaimanapun tidak tertakluk kepada sektor perkilangan.

“TNB akan beri rebat 100 peratus secara ‘one off’ bil bagi Disember. Ia akan memberi manfaat kepada pengguna domestik. Namun ia (rebat) tidak libatkan kilang-kilang,” katanya pada sidang media di Masjid Kampung Dusun Tua, Hulu Langat, hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan, TNB akan turut membantu mangsa-mangsa banjir untuk melakukan proses pendawaian elektrik bagi kediaman yang memerlukannya secara percuma.

Terdahulu, Ismail Sabri membuat tinjauan di kawasan terjejas banjir sekitar Hulu Langat.

Beliau turut meninjau beberapa lokasi bagi melihat kerja gotong-royong pembersihan kawasan Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua oleh sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pasukan keselamatan.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here