Banjir: Kehadiran sukarelawan kurang di Bentong dan Mentakab

0
1

Aiman Hanif

KETIKA Lembah Klang menjadi tumpuan sukarelawan untuk menyalurkan sumbangan dan tenaga, Temerloh, Bentong dan Mentakab di Pahang, masih tandus kehadiran sukarelawan.

Tinjauan Malaysiapost di kawasan berkenaan mendapati pasukan sukarelawan masih belum ramai yang hadir untuk masuk ke kawasan kampung bagi membantu mangsa banjir di situ.

Pasukan sukarelawan masih belum ramai yang hadir untuk masuk ke kawasan kampung bagi membantu mangsa banjir di situ.

Situasai berbeza di Kuala Lumpur dan Selangor, kawasan Hulu Langat misalnya menjadi tumpuan sukarelawan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) sehingga menyukarkan pergerakan keluar masuk.

Berbanding di tiga kawasan terbabit di Pahang khususnya di Mentakab yang terjejas teruk, proses pembersihan dilihat agak perlahan.

Malah, longgokan sampah dan selut memenuhi sekitar kediaman mangsa banjir sehingga telah menimbulkan bau busuk.

Kawasan terjejas akibat banjir itu juga kini menjadi umpama padang tandus dengan pokok-pokok renek diselimuti selut.

Mangsa banjir di Bentong, Fadzli Ahmad, 45, berkata sehingga kini mereka yang terkesan akibat banjir berkenaan terpaksa membersih kediaman secara sendirian.

“Kami bersih sendiri anak beranak saja lah. Banyak yang perlu dilakukan. Entah berapa lama masa yang diperlukan untuk siap semua ini.

“Setakat ini belum ada sukarelawan ataupun NGO yang masuk ke kawasan ini. Kalau ada pun mereka banyak bertumpu di kawasan luar ataupun laluan utama,” katanya ketika ditemui Malaysiapost.

Kediaman milik keluarga Fadzli di Bentong hampir ditenggelami air banjir sepenuh ketika kejadian bencana alam itu baru-baru ini.

Di Mentakab, seorang mangsa banjir yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berharap lebih ramai sukarelawan tampil untuk membantu mereka yang terjejas di kawasan itu.

“Dengan apa yang kami ada, dengan kudrat kami, pasti proses pembersihan akibat banjir ini akan mengambil tempoh yang lama.

“Kita khuatir jika proses pembersihan ini lambat, ia mengundang kepada risiko penyakit berjangkit.

“Oleh itu kita berharap pihak berwajib dapat merencana dengan baik supaya kawasan-kawasan terjejas di Pahang ini tidak terlepas, jangan hanya tertumpu di Selangor saja,” katanya.

Tinjauan Malaysiapost di Mentakab mendapati air di kawasan itu baharu saja surut dan dipenuh selut kering sehingga mengkibatan debu.

Kawasan terjejas akibat banjir itu juga kini menjadi umpama padang tandus dengan pokok-pokok renek diselimuti selut.

Sehingga artikel ini ditulis, Malaysiapost melihat kumpulan sukarelawan dari Johor dan Negeri Sembilan tiba di kawasan berkenaan.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here