SEORANG wanita yang tular dilihat bersama suaminya mengangkut kotak ketuhar dari pasar raya Mydin Mart di Sri Muda, Shah Alam tampil menjelaskan perkara sebenar bahawa kotak itu berisi makanan bukannya barangan eletrik.
Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok akaun bernama largh_dawson, wanita tersebut menerangkan timbul salah faham berhubung gambar tular menunjukkan suaminya sedang mengangkat kotak ketuhar keluar dari premis itu.
“Itu bukan ketuhar, itu kotak (ketuhar) saja, saya letak biskut, sardin dan bukannya ketuhar, jika saya ambil ketuhar pun apa gunanya (sebab) saya (sudah) ada di rumah,” katanya dalam video itu.
Menurut wanita itu, tiada niatnya untuk mengambil ketuhar sedangkan anak di rumah kelaparan selepas tiga hari terkandas akibat banjir besar yang melanda kawasan itu.
“Anak saya dah lapar, tiga hari tak makan, jadi buat apa nak bawa balik ketuhar.
“Tetapi saya faham juga kamu salah sangka ingat itu ketuhar, tetapi bukan. Jadi yang mana ambil gambar itu (hanya) ambil kesempatan,” ujarnya.
Sebelum ini, tular gambar seorang lelaki mengangkat kotak ketuhar dan wanita keluar dari Mydin Mart mencuri perhatina netizen.
Gambar tersebut mengundang kecaman netizen selepas dianggap mencuri dan mengambil kesempatan membawa pulang barang-barang di premis itu tanpa izin.
Bagaimanapun, Mydin Holdings (M) Bhd dalam kenyataan menghalalkan perbuatan memecah masuk dan mengambil barangan dalam cawangan itu atas alasan untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan darurat. – Malaysiapost

