‘Omicron mungkin telah berada dalam komuniti’ – Dr Noor Hisham

0
1

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata varian baharu Omicron berkemungkinan telah berada dalam komuniti.

Justeru, beliau berkata, semua pihak dinasihati mengambil dos penggalak dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sebanyak 62 kes Omicron telah disahkan dengan jujukan genomic penuh. 94 kes telah dikesan tetapi belum disahkan dan ujian jujukan genomic penuh sedang dijalankan.

“Adalah disarankan untuk mengambil dos penggalak, patuhi SOP yang ditetapkan dan amalkan TRIIS walau di mana anda berada,” katanya ringkas di Facebook.

Sebanyak 62 kes Covid-19 varian Omicron telah dikesan di Malaysia setakat ini, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, 61 kes merupakan jangkitan import dari luar negara, manakala satu kes lagi masih dalam siasatan yang disyaki jangkitan tempatan.

Menurutnya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 145 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 15 sehingga 21 Disember.

Daripada jumlah itu, 60 sampel menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron.
Pada 24 Disember, 45 daripada 60 sampel presumptive ini telah disahkan varian Omicron melalui jujukan genom yang dijalankan oleh IMR. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here