Kerajaan Johor teliti kedudukan DUN, pertimbang kemungkinan PRN

0
2
Johor Mentri Besar Datuk Hasni Mohammad during press conference at Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar on Wednesday (March 11)

KERAJAAN Johor akan meneliti kedudukan semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam membuat pertimbangan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan atau sebaliknya.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata ini kerana situasi politik di Johor adalah berbeza dengan Sarawak ataupun Melaka.

Justeru, katanya, perjumpaan atau perbincangan akan diadakan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, termasuk berhubung kedudukan kerajaan negeri sedia ada yang kini mempunyai kelebihan sangat tipis dengan majoriti hanya satu kerusi.

Beliau berkata, ia susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian, 21 Disember lalu.

“Kerajaan sedia ada bertambah tidak stabil dan saya sedang memantau keadaan.

“Mengenai sama ada kita mahu mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) pula, Speaker DUN (Suhaizan Kaiat) sudah menjelaskan bahawa ia tidak perlu kerana kita sudah melepasi tempoh tiga tahun (dari Pilihan Raya Umum Ke-14),” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Pemergian Osman menjadikan kerajaan negeri kini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi, iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor berkata, pihaknya perlu melihat reaksi terkini ADUN pada Persidangan Khas DUN yang akan diadakan pada 6 Januari tahun depan.

Beliau berkata, persidangan khas itu akan diadakan untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 bagi pelaksanaan Undi 18.

“Kita akan melihat dari semua sudut untuk memahami reaksi dalam kalangan ADUN daripada gabungan parti yang menubuhkan kerajaan negeri ketika ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here