Waspada penipuan kutipan derma banjir – polis

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai berhati-hati dengan sindiket penipuan kutipan derma untuk membantu mangsa banjir yang melanda negara, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan membuat kutipan untuk kegunaan sendiri.

“Walaupun sehingga kini tiada sebarang laporan polis yang diterima, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam menyalurkan derma agar ia benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Adalah ditegaskan, polis sentiasa memantau aktiviti kutipan derma yang dilakukan melalui internet dan sebarang aktiviti yang meragukan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian banjir yang melanda negara menyebabkan mangsa yang terlibat kehilangan harta benda dan kerugian.

“Berdasarkan pemerhatian, pelbagai inisiatif kutipan derma telah dilancarkan parti politik, NGO, swasta dan individu bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas.

“Kebiasaannya, aktiviti kutipan yang bersifat kebajikan ini akan mendapat maklumbalas yang positif daripada rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang informasi berkenaan aktiviti penipuan kutipan derma berkenaan digesa menyalurkan maklumat kepada polis.

“Ia boleh dibuat melalui CCID Scam Response Center yang boleh dihubungi melalui 03-26101559 /1599.

“Atau membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here