
AGENSI Pengurusan Bencana Negeri (NADMA) menafikan dakwaan terdapat tarikh tutup bagi mangsa bencana membuat permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI).
NADMA dalam satu kenyataan hari ini, menafikan dakwaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berhubung tarikh tutup bantuan itu.
Menurut agensi berkenaan, tiada tarikh tutup ditetapkan bagi bantuan itu memandangkan kejadian bencana adalah sesuatu yang tidak dapat diramal.
“Dakwaan YB Hanna Yeoh yang menyatakan terdapat tarikh tutup permohonan BWI adalah tidak benar.
“NADMA menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut kerana tidak ada tarikh tutup bagi BWI memandangkan kejadian bencana adalah sesuatu yang tidak dapat diramal,” menurut kenyataan itu.
Agensi berkenaan turut menjelaskan dakwaan Hannah Yeoh mengenai percanggahan dalam soalan lazim (FAQ) NADMA dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai BWI.
“Pihak agensi ingin memaklumkan, FAQ yang dirujuk adalah garis panduan lama. Ia tidak lagi terpakai lanjutan pengumuman baru Perdana Menteri mengenai BWI dan arahan ini turut dilanjutkan kepada semua kerajaan negeri,” katanya.
Menurut NADMA, pada 21 Disember lalu, Perdana Menteri telah memutuskan semua mangsa bencana yang terkesan akibat banjir wajar menerima BWI setiap kali ditimpa bencana.
“Keputusan ini dibuat YAB Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Bencana Bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri.
“Sebelum ini kelayakan BWI hanya diberikan sekali dalam musim tempoh bencana telah diisytiharkan, namun atas keprihatinan Perdana Menteri kini semua mangsa yang terkesan akibat bencana banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa.
“Tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN),” katanya.
Sementara itu, NADMA memaklumkan, sehingga hari ini sejumlah RM26.9 juta peruntukan fasa pertama telah disalurkan ke 11 negeri untuk pembayaran bantuan wang ihsan dan tambahan akan diberikan mengikut keperluan. – Malaysiapost
