POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka sebanyak 13 kertas siasatan berkaitan jenayah harta benda membabitkan bencana banjir di kontinjen Selangor sejak 17 Disember lalu hingga semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini hanya Selangor yang merekodkan laporan berkaitan jenayah harta benda itu, manakala kontinjen lain tiada laporan diterima.
“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak empat kes siasatan dijalankan mengikut Seksyen 378A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri motosikal.
“Sembilan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh pasar raya atau kedai dengan maksud melakukan kesalahan mencuri barang-barang dalam premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seramai 43 suspek telah ditangkap membabitkan 40 lelaki dan tiga wanita dan semua kes masih dalam siasatan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dalam tempoh terdekat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda, di samping mematuhi semua arahan dikeluarkan kerajaan dan undang-undang negara demi keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – Malaysiapost

