RM10,000 bantuan untuk waris korban banjir – PM

0
1

BANTUAN Wang Ihsan (BWI) bagi waris mangsa yang terkorban akibat bencana banjir melanda beberapa negeri sejak Sabtu lalu, dinaikkan dari RM5,000 ke RM10,000.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sedih dan bersimpati dengan mereka yang terkorban akibat bencana banjir yang melanda negara. 

“Sebagai tanda prihatin, kerajaan akan salur sumbangan RM10,000 kepada waris mangsa-mangsa banjir yang meninggal dunia di bawah Bantuan Wang Ihsan. (Sebelum ini RM5,000),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada negeri Selangor dan Pahang yang terjejas teruk akibat bencana terbabit.

“Kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan secara terus sebanyak RM50 juta kepada dua negeri iaitu Pahang dan Selangor yang terjejas teruk akibat banjir.

“Manakala bagi negeri-negeri lain yang terjejas banjir, kerajaan akan menyalurkan peruntukan berdasarkan kerosakan yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, kaedah mySTEP bagi mendapatkan tenaga kerja untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan akan juga digunakan bagi membantu dalam kerja pembersihan rumah-rumah mangsa.

“Pengagihan Bakul Makanan kepada mangsa banjir oleh Ahli Parlimen bagi kawasan yang terjejas. Dicadangkan kadar RM100 bagi setiap isi rumah dan bilangan isi rumah yang terjejas banjir berdasarkan statistik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). 

“Sebelum ini, saya dah umumkan RM1,000 bagi setiap isi rumah dan ada negeri seperti Melaka sudahpun agih bantuan ini kepada mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata, dana dari kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca banjir adalah sebanyak RM75.8 juta iaitu RM50 juta dari GLIC dan GLC, manakala RM25 juta lagi dari kerajaan pusat.

“Bagi pasca banjir seperti kerja pembersihan rumah, GLC dan GLIC akan diminta untuk menggerakkan program bantu keluarga yang terkesan seperti kerja pembersihan dan sebagainya.

“Selain itu penyambungan kemudahan utiliti seperti air dan elektrik juga disegerakan. Saya akan arahkan Kementerian Multimedia dan Komunikasi untuk mempercepatkan pemulihan telekomunikasi di kawasan terjejas. 

“Ini membolehkan ahli keluarga ketahui status ibu bapa, sanak saudara melalui video call dan sebagainya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here