Pembaikan tanah runtuh sudah dimulakan – Azmin Ali

0
1

KERJA-kerja awal penyelenggaraan dan pembaikan tanah runtuh yang menjejaskan Maahad Tahfiz Al Munawwarah, Kemensah pada Sabtu lalu telah dimulakan bagi memastikan keselamatan pelajar di pusat tahfiz berkenaan.

Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pihak Pejabat Daerah Gombak dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga akan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah perparitan dan saliran berhadapan pusat tahfiz berkenaan yang mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

“Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Maahad Tahfiz Al Munawwarah, Kemensah tempoh hari adalah membahayakan kepada anak-anak pelajar di situ dan saya telah mengarahkan tindakan segera diambil.

“Kerja-kerja awal penyelenggaraan dan pembaikan telah dimulakan bagi memastikan keselamatan cerun dan bangunan kekal utuh.

“Namun pemantauan akan terus dilakukan kerana keselamatan anak-anak di Maahad Tahfiz Al Munawwarah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya di Facebook.

Beliau berkesempatan meninjau lokasi kejadian hari ini dan dimaklumkan banyak pergerakan tanah berlaku dikawasan terbabit susulan hujan lebat.

“Dalam musim hujan ketika ini, semua pihak perlu sentiasa peka dan berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan yang berlaku seperti banjir dan tanah runtuh.

“Pejabat Daerah bersama MPAJ dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut memaklumkan kepada saya banyak pergerakan tanah terjadi disebabkan hujan lebat.

“Memang tidak dinafikan, kita tidak dapat meramal apa yang bakal terjadi. Namun kerjasama semua pihak adalah perlu bagi membolehkan kita dapat mencegah sebarang bencana dari awal,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengingatkan penduduk supaya kekal berjaga-jaga dan segera hubungi pihak berkuasa jika terdapat tanda-tanda awal banjir, tanah runtuh atau tanah jerlus.

Media melaporkan kejadian tanah runtuh berlaku di bahu jalan berdekatan Tahfiz Al-Munawwarah, pada Sabtu lalu, mengakibat sebuah keluarga terjejas membabitkan seorang lelaki dan wanita serta seorang bayi dan 12 pelajar tahfiz. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Azmin Ali

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here