KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai untuk melakukan ujian saringan kendiri Covid-19 sebelum aktiviti berkumpul atau berkunjung sempena sambutan Krismas esok.
Beliau berkata, walaupun sebahagian besar dari ‘Keluarga Malaysia’ sudah divaksin, namun langkah berwaspada dengan mengamalkan kawalan kesihatan kendiri melalui TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform & Seek Help) adalah perlu.
“Sempena sambutan perayaan Hari Natal dan Tahun Baru ini, sudah tentu ada yang akan mengambil kesempatan untuk berkunjung menziarahi sahabat handai dan sanak keluarga.
“Lakukan ujian saringan kendiri Covid-19 sebelum aktiviti berkumpul atau berkunjung,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Dr Noor Hisham berkata, selain itu, orang ramai juga diingatkan memakai pelitup muka, mencuci tangan dan menjaga penjarakan serta mengelak bersembang dengan jarak dekat dan berada di dalam ruang yang sempit.
“Di samping itu, tingkatkan pengudaraan ketika berada di dalam rumah dan bangunan bagi mengurangkan risiko penularan penyakit Covid-19.
“Semoga Keluarga Malaysia semua kekal selamat,” katanya. – Malaysiapost

