SITUASI banjir di Mentakab dan Temerloh, Pahang akan ditangani dengan strategi baharu dalam usaha menyurutkan air genang di kedua-dua kawasan terbabit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata beliau difahamkan strategi terbaharu itu berjaya mencapai objektifnya untuk menyurutkan air genang dalam tempoh 10 jam.
“Situasi banjir di kawasan ini (Mentakab dan Temerloh) menggunakan strategi seperti di Bukit Cangang, Kuala Langat iaitu menakung air menggunakan terusan atau kolam banjir (seperti di Belanda dan Jepun).
“Dan juga strategi perubahan fasa mengubah air genang kepada wap air.
“Kita berdoa dan berharap usaha ini dipermudahkan,” katanya yang membuat pemantau dari udara bagi melihat situasi di kedua-dua kawasan berkenaan, hari ini.
Beliau berkata, pemantauan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang; Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Pegawai Daerah Temerloh Datuk Ali Syahbana.
Menurut Abd Latiff, tinjauan hari ini membabitkan kawasan sepanjang Sungai Semantan dan Sungai Nentas. – Malaysiapost

