PTPTN bincang dengan KPT, MoF beri moratorium kepada mangsa banjir

0
1

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan (MoF) bagi memberikan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negara

Pengerusinya Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan, PTPTN juga telah diarahkan agar mempermudahkan urusan penyusunan semula bayaran bagi peminjam yang terkesan.

“Dalam lawatan sebentar tadi saya bertemu dengan salah seorang mangsa banjir yang merupakan peminjam PTPTN. Rumah beliau mengalami ‘total loss’. Semua perabot dan perkakasan rumah rosak ditenggelami air. Beliau mencadangkan supaya peminjam PTPTN yang ditimpa musibah banjir diberikan moratorium. Saya amat memahami permohonan ini. 

“Semasa saya ditimpa musibah pada 2012, rumah saya terbakar keseluruhan dan saya hanya tinggal baju yang disidai di ampaian sahaja. 

“Semua yang lain hangus dijilat api. Belanja untuk membina semula kehidupan selepas musibah sebegitu memang amat membebankan. Pada masa itu, saya bernasib baik ada kawan-kawan dan saudara mara yang sudi bantu saya” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, susulan itu beliaua telah mengarahkan pengurusan PTPTN melakukan dua perkara.

“Pertama, sekiranya ada peminjam yang minta untuk menyusun semula bayaran balik kerana mereka ditimpa musibah, saya telah arahkan agar prosesnya hendaklah dipermudahkan. 

“Penyusunan semula bayaran balik dalam kes-kes tertentu adalah dalam bidang kuasa PTPTN maka seboleh-bolehnya para pegawai harus mempermudahkannya,” katanya.

Wan Saiful berkata, kedua, pengurusan atasan PTPTN diarah serta merta berbincang dengan KPT dan MoF mengenai kemungkinan memberikan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan.

“Sudah pasti keutamaan peminjam yang terkesan ialah untuk membina semula kehidupan. Kita mesti bantu mereka. Tetapi sebagai sebuah agensi pelaksana sahaja, perkara ini memerlukan sokongan pihak atasan. 

“Saya harap rayuan kami akan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dana Kita yang sudi bekerjasama dengan PTPTN untuk meneruskan misi bantuan banjir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here