SEMUA Agensi yang terbabit dengan pengurusan bencana banjir diarah mengadakan sidang media harian kepada seluruh Keluarga Malaysia mengenai situasi semasa banjir seluruh negara bermula hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan arahan itu bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat yang jelas, sahih dan terkini mengenai situasi semasa bencana banjir yang melanda beberapa negeri.
“Saya telah mengarahkan kesemua agensi yang terlibat dengan bencana banjir iaitu Agensi Pengurusab Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan lain-lain mengadakan sidang media harian Op Banjir mengenai situasi semasa bencana banjir seluruh negara.
“Sidang media Op Banjir ini bertujuan untuk memastikan rakyat mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir dan persediaan-persediaan yang perlu dalam menghadapi bencana,” katanya dalam hantaran di Facebook dan Twitter hari ini.
Menurutnya, penglibatan daripada seluruh barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana ini harus berada di tahap sentiasa bersedia.
Beliau turut menyenaraikan jadual sidang media harian agensi-agensi berkaitan pada hari ini
“Sidang media harian seperti berikut; 10 pagi : Ketua Polis Negara @pdrmsia; 12 tengah hari : Panglima Angkatan Tentera @MarkasATM; 2 petang : Ketua Pengarah Bomba @bombaJBPM dan 4 petang : Ketua Pengarah NADMA @mynadma.
“Saya yakin laporan ini dpt memberi gambaran jelas situasi terkini bencana di seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

